Kamis, 14 Mei 2015

CICIT IBLIS SEKALIPUN INGIN BERTAUBAT


Kita sering dengar kisah orang yang bertaubat, ada yang berasal dari raja yang zalim kemudian bertaubat. Ada juga yang berasal dari ketua perompak kemudian bertaubat dan akhirnya berkat amalannya diangkat menjadi waliullah.

Tapi kisah ini agak unik sedikit kerana ini adalah kisah cicit kepada Iblis laknatullah yang bertaubat.

Kisah yang saya petik dari kitab karangan Imam As-Sayuti ini saya kira baik untuk dijadikan renungan bersama, inilah kisahnya:

Al-Uqaili (Salah seorang penghafal hadith, penulis kitab adh-Dhu a’fa).

Dalam sebuah kitab karangannya, Al-uqaili meriwayatkan dari Abu Nu’aim dan Al-Baihaqi dari Umar:

Dia berkata: "Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w di suatu tempat di gunung Thimamah, tiba-tiba muncul seorang lelaki tua sambil memegang tongkat. Dia kemudian mengucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w.".

“Siapa engkau tanya nabi".

‘Aku Hammah bin Hayim bin Luqais bin Iblis", jawabnya.

“Engkau dan iblis berjarak dua bapa, berapa lama waktu yang engkau lalui antara dua jarak itu?

“Usia dunia ini sudah punah kecuali tinggal sedikit saja lagi, pada malam ketika Qabil membunuh Habil, aku masih kanak-kanak namun aku sudah boleh disuruh merosakkan makanan dan memutuskan hubungan perkauman”.

Nabi Bersabda, "Alangkah buruknya perbuatan orang tua yang dikutuk dan anak muda yang diajarnya”.

“Janganlah sebutkan lagi hal itu kerana aku sudah bertaubat kepada Allah. Aku pernah bersama Nuh di masjidnya dan beberapa orang yang beriman dari kaumnya. Aku terus-menerus mencela caranya menyampaikan dakwah kepada kaumnya sehingga dia menangis dan aku juga turut menangis.

"Aku termasuk orang yang menyesal atas perbuatan itu dan aku berlindung kepada Allah agar tidak termasuk orang -orang yang jahil.

"Aku katakan pada Nuh, Wahai Nuh aku termasuk orang yang bersubahat dengan pembunuhan yang dilakukan Qabil yang menumpahkan darah orang yang berbahagia dan mati syahid dari anak Adam. Adakah menurutmu, taubatku masih di terima?"

Nuh menjawab, "Wahai Hammah, berhasratlah terhadap kebaikan dan lakukanlah ia sebelum muncul penyesalan dan kerugian. Sesungguhnya aku telah membaca apa yang diturunkan Allah kepadaku bahawa tak seorang hamba pun yang bertaubat kepada Allah melainkan Allah akan menerima taubatnya. Kerana itu ambillah wudhuk dan bersujudlah dua kali".

Akupun terus melaksanakan apa yang diperintahkan kepadaku, ketika aku sedang sujud diserukan kepadaku, "Angkatlah kepalamu kerana taubat bagimu sudah turun dari langit”.

Maka akupun sentiasa bersujud kepada Allah.

Aku juga sempat bersama Nabi Hud bersama mereka yang beriman kepadanya, aku juga mencela caranya menyampaikan dakwah sehingga dia dan aku turut menangis. Aku seringkali bertemu nabi Ya’kub dan aku juga bertemu Yusuf di tempat orang- orang awam yang buta huruf. Aku bertemu Ilyas di lembah. Aku bertemu Musa bin Imran dan beliau mengajarkan Taurat kepadaku sambil berkata, "Jika engkau sempat bertemu Isa Putera Maryam, sampaikan salamku kepadanya".

Lalu ketika aku bertemu Isa aku sampaikan salam Musa kepadanya. Kemudian Isa berkata kepadaku, "Jika engkau bertemu Muhammad, sampaikan salamku kepadanya".

Setelah mendengar kisah tersebut, Rasulullah s.a.w. memandang kearah yang jauh, lalu menangis sambil bersabda, "Salam atas Isa selagi dunia masih ada dan salam atasmu wahai Hammah diatas amanah yang telah engkau sampaikan.”

“Wahai rasulullah, lakukanlah sepertimana yang dilakukan oleh Musa bin Imran kepadaku, beliau sudah mengajarkan ku Taurat.”

Maka Rasulullah s.a.w. membacakan kepadanya surah Al-Waqiah, Al-Mursalat, An-Naba’, At-Takwir dan Mu’ awwid-zatain serta Qulhuallahu ahad.

Kemudian baginda bersabda, “Sampaikan kepadaku apa keperluanmu wahai Hammah sebelum engkau meninggalkan kami”.

Umar berkata, "Lalu Rasulullah menghentikan kisahnya, sehingga aku tidak tahu adakah jin itu masih hidup atau sudah mati".

Tidak ada komentar:

Posting Komentar